Dalam dunia
yang begitu menekankan produktiviti, kita sering mendengar ungkapan “kill
two birds with one stone” atau dalam bahasa Melayu, “sambil menyelam minum
air”. Maksudnya mudah: jika dua perkara boleh diselesaikan dalam satu masa,
mengapa perlu melakukannya secara berasingan? Secara teori, pendekatan ini
kelihatan lebih cekap. Namun, saya mula menyedari bahawa dalam sesetengah
keadaan, saya lebih selesa menyelesaikan satu perkara pada satu masa.
Saya
menyedari perkara ini ketika berhadapan dengan rakaman temu bual yang perlu
ditulis dan dianalisis. Katakan saya mempunyai rakaman temu bual selama 60
minit. Saya mempunyai dua pilihan. Pertama, memperuntukkan masa untuk menulis
semula kira-kira 10 minit rakaman setiap hari dengan memberikan perhatian
sepenuhnya kepadanya. Kedua, menyiapkan mungkin tiga minit rakaman sehari
tetapi dilakukan secara berselang-seli sambil membuat pekerjaan lain.
Jika dilihat
daripada sudut produktiviti, pilihan kedua seolah-olah menarik. Saya boleh
menjalankan kerja utama dan dalam masa yang sama sedikit demi sedikit
menyelesaikan rakaman tersebut. Bukankah ini lebih produktif? Namun dalam
praktiknya, saya mendapati bahawa saya lebih cenderung memilih pilihan pertama:
duduk, fokus dan selesaikan 10 minit rakaman tanpa melakukan pekerjaan lain.
Mengapa
keadaan ini berlaku? Salah satu sebabnya ialah menulis semula temu bual
bukanlah pekerjaan mekanikal semata-mata. Kita bukan sekadar mendengar suara
dan memindahkan perkataan ke dalam bentuk tulisan. Kita perlu memahami apa yang
cuba disampaikan oleh informan, mengenal pasti konteks perbualan dan kadangkala
memikirkan kepentingan sesuatu kenyataan terhadap perkara yang sedang dikaji.
Apabila
proses tersebut dilakukan sambil membuat pekerjaan lain, perhatian kita perlu
berpindah-pindah. Kita mendengar rakaman selama beberapa saat, kemudian kembali
kepada pekerjaan lain, sebelum membuka semula rakaman dan cuba mengingati apa
yang sedang dibincangkan oleh informan. Kadangkala kita terpaksa mengulang
kembali rakaman kerana sudah kehilangan konteks perbualan. Akhirnya, tiga minit
rakaman yang kelihatan sedikit itu boleh menjadi lebih meletihkan daripada
menyelesaikan 10 minit rakaman dengan fokus sepenuhnya.
Di sinilah
saya mula memahami bahawa multitasking tidak semestinya bermaksud otak
manusia benar-benar melakukan dua pekerjaan yang memerlukan pemikiran pada masa
yang sama. Dalam banyak keadaan, apa yang berlaku sebenarnya ialah kita
bertukar perhatian daripada satu tugas kepada tugas yang lain. Setiap kali
pertukaran berlaku, kita memerlukan sedikit masa untuk kembali memahami
kedudukan pekerjaan sebelumnya.
Konsep
“sambil menyelam minum air” sebenarnya lebih sesuai apabila salah satu daripada
dua aktiviti tersebut tidak memerlukan perhatian kognitif yang tinggi. Kita
boleh mendengar podcast sambil berjalan kaki. Kita boleh mendengar ceramah
ketika memandu. Kita juga boleh menunggu pakaian selesai dibasuh sambil membaca
buku. Aktiviti seperti ini boleh digabungkan kerana kedua-duanya tidak sentiasa
bersaing untuk mendapatkan perhatian yang sama.
Keadaannya
berbeza apabila kedua-dua pekerjaan memerlukan pemikiran. Menulis laporan
sambil menganalisis rakaman temu bual, misalnya, menyebabkan kedua-dua aktiviti
bersaing mendapatkan perhatian. Dalam keadaan seperti ini, keinginan untuk
menyelesaikan dua pekerjaan serentak mungkin tidak menghasilkan produktiviti
yang kita bayangkan. Sebaliknya, ia boleh menyebabkan kedua-duanya bergerak
dengan lebih perlahan.
Saya juga
mendapati bahawa terdapat kepuasan tertentu apabila sesuatu pekerjaan mempunyai
permulaan dan pengakhiran yang jelas. Jika sasaran saya ialah menyelesaikan 10
minit rakaman sehari, saya tahu dengan tepat apakah tugas yang perlu dilakukan.
Selepas 10 minit rakaman itu selesai diproses, saya boleh menutup fail tersebut
dan meneruskan pekerjaan lain tanpa memikirkannya lagi pada hari tersebut.
Kaedah ini
juga menjadikan pekerjaan besar kelihatan lebih kecil. Rakaman selama 60 minit
pada mulanya mungkin kelihatan membebankan. Namun apabila dibahagikan kepada 10
minit sehari, rakaman tersebut sebenarnya boleh diselesaikan dalam enam hari.
Saya tidak lagi melihatnya sebagai “aku perlu menyiapkan satu jam rakaman”,
tetapi hanya “aku perlu menyiapkan 10 minit hari ini”.
Perubahan
cara melihat sesuatu pekerjaan ini penting. Kadangkala masalah kita bukan
kerana pekerjaan tersebut terlalu besar, tetapi kerana kita melihat keseluruhan
pekerjaan pada satu masa. Apabila tugas besar dipecahkan kepada unit-unit kecil
yang mempunyai sasaran harian tertentu, beban psikologinya menjadi lebih
ringan.
Pengalaman
ini turut membuatkan saya mempersoalkan tanggapan bahawa seseorang yang mampu
melakukan banyak perkara serentak semestinya lebih produktif. Produktiviti
bukan sekadar berapa banyak pekerjaan yang sedang kita lakukan dalam satu masa.
Produktiviti juga perlu dilihat daripada berapa banyak pekerjaan yang
benar-benar dapat diselesaikan dengan baik.
Oleh sebab
itu, mungkin kita tidak perlu terlalu memaksa diri untuk sentiasa “membunuh dua
ekor burung dengan satu batu”. Ada waktunya pendekatan tersebut memang berguna.
Namun ada waktunya satu batu untuk seekor burung adalah strategi yang jauh
lebih baik.
Akhirnya,
saya semakin memahami bahawa setiap orang mempunyai corak bekerja yang berbeza.
Bagi saya, apabila sesuatu pekerjaan memerlukan pemikiran, penelitian dan
pemahaman yang mendalam, saya lebih suka memberikan satu ruang masa khusus
kepadanya. Sepuluh minit yang dilakukan dengan fokus penuh kadangkala jauh
lebih bernilai daripada tiga minit yang dilakukan sambil fikiran berada di dua
tempat.
Mungkin
produktiviti sebenar bukanlah kemampuan melakukan sebanyak mungkin perkara pada
satu masa. Produktiviti adalah kemampuan mengenal pasti bila kita patut
menggabungkan pekerjaan dan bila kita patut memberikan perhatian sepenuhnya
kepada satu pekerjaan sahaja.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com

No comments:
Post a Comment