Wednesday, October 10, 2012

Hukum Hudud : Syarat-syarat Seseorang Pencuri Dijatuhkan Hukuman Potong Tangan

Akhirnya, saya terjumpa artikel mengenai hukuman hudud potong tangan. Saya menjumpai artikel ini di laman web Hizul Tahrir Malaysia (HTM). Saya masih teringat dengan kuliah Maghrib tempoh di mana penceramah mengatakan bahawa sekiranya kita ikhlas untuk melakukan sesuatu kebaikan, maka Allah s.w.t. akan memudahkan urusan kita. Contohnya, suatu ketika dahulu saya ingin mengetahui ciri-ciri pakaian seorang Hakim Islam berbanding pakaian Hakim Mahkamah yang diguna pakai di Malaysia di hari ini. Ditakdirkan saya membeli cakera padat Ustaz Azhar Idrus dan beliau ada menyebut bahawa ciri-ciri pakaian Hakim Islam ialah ia perlu memakai serban dan jubah di mana serban tersebut perlu lebih besar daripada orang awam.

Baiklah berbalik kita kepada topik asal iaitu apakah syarat-syarat seseorang pencuri itu dijatuhkan hukuman potong tangan? Pertama sekali ialah apa yang perlu istilah ‘curi’ itu sendiri dalam perundangan Islam? Curi yang dimaksudkan dalam perundangan Islam ialah mengambil harta secara sembunyi dari pemiliknya atau wakilnya, dengan syarat mencukupi nisab potong tangan, dan mengeluarkan dari tempat penjagaan atau seumpamanya, dan tidak ada unsur syubhah ke atas harta tersebut [Nizham al-U’qubat, Abd Rahman Maliki, halaman 60]. Perintah Allah s.w.t. di dalam al-Quran mengenai hukuman potong tangan ke atas pencuri adalah termaktub dalam surah al-Maidah ayat 38:

Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah s.w.t. Dan Allah s.w.t. Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” al-Maidah: 38

Hukuman potong tangan tidak akan dijatuhkan melainkan memenuhi 7 syarat utama:

Pertama:

Menepati definisi mencuri iaitu mengambil harta secara sembunyi atau sorok-sorok. Seseorang itu tidak dikatakan mencuri jika merompak, menggelapkan wang (pecah amanah), merampas dan meragut. Sekiranya seseorang peguam menggelapkan matawang pelanggannya, ia tidak termasuk dalam jenayah kecurian yang dikenakan hukuman potong tangan. Namun begitu, mereka akan dikenakan hukuman takzir yang mungkin lebih berat daripada potong tangan. Kesalahan ini tidak dikategorikan sebagai curi kerana ada hadis dari Jabir bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

Tidak dipotong tangan orang yang pecah amanah, orang yang menipu dan orang yang merampas” Riwayat Abu Daud
Kedua:

Barang yang mencuri mencukupi nisab. Cukup nisab adalah syarat minima nilai harta yang dicuri. Jumhur ulama’ iaitu Maliki, Syafie, dan Hambali bersepakat bahawa nisab barang kecurian itu adalah seperempat dinar atau 3 dirham. Satu dinar adalah setara dengan 4.25 gram emas (24 karat). Ini adalah berpandukan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. dari Aisyah r.a. :

Tangan pencuri dipotong untuk seperempat dinar atau lebih” Riwayat Bukhari & Muslim

Dari hadis ini, dapat kita simpulkan bahawa nisabnya ialah ¼ x 4.24 gram = 1.0625 gram. Sekiranya harga emas pada hari ini ialah RM180.00/g maka 1.0625 gram x RM180 = RM191.25. Oleh itu, nisab kecurian ialah RM191.25. Sekiranya seseorang itu mencuri barangan bernilai RM190.00 maka tangannya tidak akan dipotong kerana belum cukup nisab dan dia akan dikenakan hukuman takzir.

Ketiga:

Harta yang dicuri adalah harta yang layak dimiliki mengikut hukum syarak. Jika seseorang Muslim menyimpan arak atau khinzir di rumahnya kemudian dicuri, maka ia tidak akan menyebabkan pencuri dihukum potong tangan kerana harta tersebut bukanlah satu pemilikan yang layak untuk orang Islam. Tetapi, sekiranya pencuri tersebut mencuri dari orang kafir, maka pencuri tersebut akan dikenakan hukuman potong tangan.

Keempat:

Harta dicuri adalah dari tempat penjagaan iaitu barang yang dicuri itu berada dalam penjagaan, simpanan atau pengawasan pemiliknya. Bentuk penjagaan ini terdiri dari 2 kategori iaitu:

Pertama: Ia dibuat khas untuk menyimpan seperti peti besi untuk perhiasan dan wang, kandang untuk binatang, jelapang untuk padi dan sebagainya yang dimaklumi masyarakat.

Kedua : Bukan tempat penyimpanan khusus nama termasuk cara umum di mana seseorang berada di situ dan orang lain tidak boleh mengambilnya melainkan mendapat keizinannya. Contohnya adalah seseorang yang duduk/tidur di masjid dan meletakkan beg di sisinya. Ini termasuk dalam penjagaan. Konsep ‘pengawasan’ terhadap harta ini adalah berbeza antara satu harta dengan harta lain. Ulama fiqh bersepakat mengatakan jika satu pintu stor atau kandang terbuka, atau bahagian dindingnya rosak maka ini akan menghilangkan sifat penjagaan, maka pencuri itu tidak dipotong tangan, namun mereka akan dikenakan hukuman lain. Dari Amru bin Syuaib dari bapanya dan dari datuknya berkata “Aku mendengar seorang lelaki dari Bani Muzainah bertanya kepada Rasulullah tentang sangkar yang ada lubang: Maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda: 

Pencuri itu kena bayar 2 kali ganda harganya dan dipukul sebagai teladan balasan seksa, namun jika dia mencuri unta atau kambing dalam pengawasan untuk minum air maka tangannya akan dipotong jika harganya menyamai 8 mijan.” Riwayat Abu Daud

Begitu juga dalam hadis lain yang menceritakan perihal orang yang mencuri buah semasa berada ditangkai, maka mereka ditakzir dengan nilai dua kali ganda, tapi jika mereka mencuri dari stor maka mereka akan dipotong tangan jika cukup nisabnya.

Kelima:

Bukan harta syubahat: Dalam harta yang dicuri tidak ada bahagian hak pencuri atau yang membolehkan pencuri itu memakannya. Ini bermakna tidak dikenakan hukuman potong tangan sekiranya si ayah mencuri harta anaknya atau sebaliknya. Ini berpandukan kepada sabda Nabi Muhammad s.a.w. “Kamu dan harta kamu adalah milik bapa kamu”. Baginda juga bersabda “Sebaik-baik orang itu adalah orang yang memakan hasil usahanya sendiri, dan anaknya juga memakan hasil usahanya.” Seorang yang mencuri harta dari Baitul Mal juga tidak dipotong tangan kerana Baitul Mal adalah harta bersama di mana di dalamnya terdapat hak si pencuri sebagai rakyat meskipun kecil bahagiannya. Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. bila seseorang ditangkap kerana mencuri khumus (1/5 dari rampasan perang yang dikhaskan kepada Rasulullah). Ibn Abbas menceritakan bahawa kes ini dibawa kepada Rasulullah, tetapi baginda tidak memotong tangannya, sebaliknya bersabda:  

Harta Allah dicuri di kalangan sendiri” Riwayat Ibnu Majah

Semasa pemerintahan Saidina Umar al-Khatab dan Saidina Ali r.a. juga terjadi kecurian di Baitul Mal namun mereka tidak memotong tangan, kerana kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) di atas harta itu. Begitu juga kalau salah seorang suami-isteri mencuri harta pasangannya, maka hukum potong tangan tidak dijalankan kerana mereka saling berkongsi dalam pemilikan harta.

Keenam:

Pencuri itu akil-baligh dan terikat hukuman dalam Islam. Taklif ini jatuh untuk semua orang termasuk kafir zimmi. Ini berpandukan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. :

"Diangkat pena (dosa) dari 3 pihak, orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia baligh, dan orang yang gila sehingga dia berakal” Riwayat Muslim

Ini bermakna taklif hukum terkena kepada orang yang berakal dan baligh. Pencuri kanak-kanak atau orang gila tidak akan dipotong tangan. Adapun kafir zimmi juga akan dipotong tangan mereka sebagaimana orang Islam.

Ketujuh:

Disabit kesalahan mencuri dengan pengakuan atau disaksikan oleh saksi yang adil. Pengakuan mencuri dalam sidang penghakiman akan menyebabkan seseorang itu boleh disabit dengan pencurian. Dari Abu Umaiyah Makhzumi menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan potong tangan seorang yang datang mengaku mencuri walaupun benda yang dicurinya tidak ada ditangannya (Riwayat Ahmad). Manakala jika kes dibawa dan pembuktian diperlukan, keperluan untuk menjadi saksi kes kecurian ialah 2 lelaki atau 1 lelaki dan 2 wanita berasaskan nas umum saksi dalam surah al-Baqarah ayat 282.

Dapat disimpulkan di sini bahawa hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri adalah mempunyai syarat-syaratnya tertentu dan ia bukannya perlu dilaksanakan secara melulu apatah lagi ia tidak termasuk skop rompakan, ragut dan pecah amanah. Apa yang lebih penting lagi orang bukan Islam iaitu orang kafir Zimmi tetap akan dilaksanakan hukuman potong tangan kanan jika disabitkan bersalah dan memenuhi ketujuh-tujuh syarat tersebut (Klik di Sini).

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

2 comments:

Anisah said...

Terima Kasih Encik kerana sudi berkongsi artikel ini. Maklumat ini amat2 berguna buat saya dan umat2 Islam yg lain. Penjelasan yg jelas. Alhamdulillah.

Wan Kamarul said...

Insya-Allah